Bila aku berkata "aku sedang cuba untuk berubah",
kadangkala diri ini terbabas juga.
Maka,
Tegurlah, bukan menghukum.
Sayangilah, bukan memfitnah.
Maafkanlah, bukan membenci.
Mudahkanlah, bukan menyusah.
Jadi, ingatkanlah aku, bukan mengejek.
Kerana diri ini masih lemah.
Mudah terlupa, mudah terleka.
BERUBAH. Semua manusia ingin berubah. Sudah pasti berubah dari sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang lebih baik. Malah, orang sekeliling juga mahu kita untuk berubah. Tapi hanya segelintir sahaja yang sudi membantu. Sepertimana aku, aku hanya manusia biasa. Aku bukan seperti Bumble Bee dalam cerita Transformers. Kalau semudah itu untuk berubah, pasti kini aku seorang manusia yang sempurna. Aku tidak maksudkan bahawa untuk berubah itu sesuatu yang susah. Tidak. Tapi pasti ada prosesnya. Selangkah...demi selangkah. Apatah lagi perubahan dari dalaman kita.
Kerana ketidaksempurnaan aku itulah, aku sering terbabas. Tapi kenapa harus aku dihukum terus? Bukankah aku layak ditegur? Tegurlah aku secara baik, jangan terus menghukum. Sayangilah aku, bukan untuk difitnah hanya kerana silapku yang kau lihat. Terkadang, tanpa usul periksa aku difitnah tanpa memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Patutkah? Bukankah membunuh itu lebih baik dari memfitnah? Ya Allah, kau ampunilah mereka. Sesungguhnya aku tidak menyimpan dendam. Kerana bagiku indahnya memaafkan di saat aku mampu membalas.