Saturday, August 30, 2014

"aku sedang cuba untuk berubah"

Bila aku berkata "aku sedang cuba untuk berubah",
kadangkala diri ini terbabas juga.
Maka,
Tegurlah, bukan menghukum. 
Sayangilah, bukan memfitnah. 
Maafkanlah, bukan membenci. 
Mudahkanlah, bukan menyusah.
Jadi, ingatkanlah aku, bukan mengejek.
Kerana diri ini masih lemah. 
Mudah terlupa, mudah terleka.

BERUBAH. Semua manusia ingin berubah. Sudah pasti berubah dari sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang lebih baik. Malah, orang sekeliling juga mahu kita untuk berubah. Tapi hanya segelintir sahaja yang sudi membantu. Sepertimana aku, aku hanya manusia biasa. Aku bukan seperti Bumble Bee dalam cerita Transformers. Kalau semudah itu untuk berubah, pasti kini aku seorang manusia yang sempurna. Aku tidak maksudkan bahawa untuk berubah itu sesuatu yang susah. Tidak. Tapi pasti ada prosesnya. Selangkah...demi selangkah. Apatah lagi perubahan dari dalaman kita.

Kerana ketidaksempurnaan aku itulah, aku sering terbabas. Tapi kenapa harus aku dihukum terus? Bukankah aku layak ditegur? Tegurlah aku secara baik, jangan terus menghukum. Sayangilah aku, bukan untuk difitnah hanya kerana silapku yang kau lihat. Terkadang, tanpa usul periksa aku difitnah tanpa memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Patutkah? Bukankah membunuh itu lebih baik dari memfitnah? Ya Allah, kau ampunilah mereka. Sesungguhnya aku tidak menyimpan dendam. Kerana bagiku indahnya memaafkan di saat aku mampu membalas.

Adakalanya, aku melakukan kesilapan. Ya, kerana aku ini cuma manusia. Tak akan pernah sekalipun dapat lari daripada melakukan kesilapan. Akan tetapi, haruskah aku dibenci kerana silapku? Maafkanlah aku. Maafkanlah segala khilafku. In sha Allah, tak akan ku ulangi lagi. Tegurlah di mana silapku. In sha Allah pasti akan aku cuba untuk perbaiki. Mudahkanlah aku dalam meredah onak berduri, jangan kau susahkan lagi. Kerana aku butuh pertolongan, maka mudahkanlah aku.

Aku dikurniakan sepasang telinga, untuk aku mendengar. Maka, bila aku terbabas, ingatkanlah aku dengan tutur nasihat darimu. Aku suka mendengar nasihat kerana bagiku, ramai yang ingin memberi nasihat tetapi sedikit yang ingin mendengar. Biarlah aku berada dalam kalangan yang sedikit itu, untuk mendengar nasihat darimu, peringatan darimu. In sha Allah mana yang baik, akan aku jadikan panduan. Tapi jangan pernah kau mengejekku, kerana aku takut ejekanmu bisa melemahkan aku hingga aku terus terbabas.

Sesungguhnya aku ini masih lemah. Masih terlalu lemah. Terkadang aku mudah terlupa, terkadang aku mudah terleka. Godaan yang mendatang, adakalanya meruntuhkan aku. Hingga aku terbabas dan hanyut. Kerana itu, andai aku terbabas lagi, tegurlah aku, sayangilah aku, maafkanlah aku, mudahkanlah aku, dan ingatkanlah aku. Jika aku tidak mampu membalas segala budimu, aku panjatkan kesyukuran ke atas Allah yang Maha Besar kerana mengurniakan aku teman sepertimu. Hanya Dia yang bisa membalas segalanya.

Subhan Allah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar.

0 comments:

Post a Comment